Keluhan Subuh
Posted by arieyant on June 11, 2008
Pada pagi itu, sebagai mana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tamu tetapku, tamu itu “subuh” namanya.
“Assalamualaikum”, seru Subuh.
“Wa’alaikumsalam”, sahutku.
Dan kami terus berpelukan, tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh, bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat yang lain ?.
“Tadi..”, kata Subuh dengan sayu, “… aku baru saja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan, kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tapi tak satupun yang mau menerimaku sebagai tamu.” Dan airmata Subuh pun berlinangan.
“Subuh, tak usah kau pedulikan mereka, bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan ? Subuh mengangkat mukanya seolah- olah teringat sesuatu.
“Oh ya, tadi aku melalui di suatu tempat yang letaknya diseberang sungai. Orang-orangnya sepertimu, menyambutku dengan penuh kesukaan, menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lezat serta mengiurkan. Hidangan yang paling kusuka adalah buah Tahajjud, lelah kucari ditempat lain, tapi jarang kujumpa. Di situ aku menikmati buah Tahajjud dengan puas”.
Dan Subuh merenung,mataku mengharapkan sesuatu. Aku faham maksud Subuh. “Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon Al-Lail, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau suka. Tapi aku ada Roti Shiyam”, kataku pada Subuh.
Subuh menolak dengan hormat. “Roti itu ada yang punya”, kata subuh. “Adakah kau mau manisan dzikir ?” rayuku pada Subuh. “Baiklah, ambilkan aku sedikit, serta bawakan aku segelas Air Mata Tangisan”, pinta Subuh.
Aku agak termenung, bagaimana harusku beritahu pada Subuh, yang Mata Air Tangisan sudah hampir kering akibat kemarau Maksiat yang berpanjangan ?
Namun, aku tetap menengok kedalam Perigi yang berisi Mata Air tersebut. Aku terkejut. Perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Dan aku bertanya didalam hati, adakah ini tanda kemarau akan berakhir ? Tanpa pikir panjang lagi kubawa Air tersebut pada Subuh, tamu yang ku hormati, dan kuhidangkan manisan yang dipintanya.
Selesai menikmati kesemuanya, Subuh pun memberikan sebuah senyuman. “Subuh ..”, seruku, “… mahukah kau tinggal selamanya denganku ? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayani kau dengan sebaiknya, wahai Subuh”. Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan terpenuhi. “Aku perlu mendatangi banyak orang, dan banyak lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengobati rindu mereka, sepertimana aku mengobati rindumu”.
Dan aku setuju dengan penjelasan Subuh. “Subuh”,.. seruku lagi ketika kulihat Subuh bersiap untuk pergi, “Sudikah kau menemuiku lagi esok hari ?” “InsyaAllah”, jawab Subuh,”… bukankah aku kekasih yang kau rindui ?” Subuhpun beranjak pergi.
“Assalamualaikum”, seru Subuh.
“Waalaikumsalam”, jawabku kembali.
Dan mataku terus menatap langkah Subuh, yang semakin jauh dengan setiap langkahnya, Dan akhirnya Subuhpun hilang dari pandangan.